SUATU perkara paling ketara dalam perancangan pembangunan Malaysia ialah ketiadaan perbincangan yang realistik untuk memperbaiki masalah kemiskinan melampau extreme poverty bagi setiap warganegara yang hidup di bawah paras kemiskinan sebagaimana yang digariskan oleh Kerajaan. Tanpa terjunam di dalam perangkap perbahasan remeh-temeh mengenai paras kemiskinan, adalah jelas bahawa sejak setengah abad lalu ketidakseimbangan dalam pembahagian pendapatan atau kekayaan semakin meluas. Dengan lain perkataan, golongan kaya bertambah kaya manakala yang miskin bertambah miskin. Mengikut bahasa statistik, ketidakseimbangan ini semakin berpintal (skewed). Majoriti golongan miskin melampau adalah kaum Bumiputera. Mereka termasuk yang tinggal di desa dan di kota dan kini semakin meningkat bilangannya. Mereka yang ditakrif sebagai Orang Asli dan penduduk asal Sarawak dan Sabah (natives) juga tergolong dalam kumpulan ini. Di samping itu sejumlah besar kaum India, terutamanya mereka yang tersingkir d...