Skip to main content

Emas sebagai alternatif pelaburan


MINGGU ini saya bercerita sedikit tentang emas sebagai pelaburan. Sebenarnya emas sudah menjadi bahan pelaburan sejak harganya mula-mula diselaraskan pada tahun 1717 oleh Sir Isaac Newton.

Pada tahun 1971, emas tidak lagi terikat dengan Dolar Amerika dan diperdagangkan secara bebas. Pada 6 Oktober 2009 baru-baru ini, harga emas di pasaran emas dunia melonjak sebanyak AS$24.60 kepada AS$1,041.80 seauns sehari.

Enam bulan dulu harga terendah emas ialah AS$868.70 dan setahun dulu harganya ialah AS$709.50 seauns. Dalam masa setahun harga emas naik sebanyak 46.8 peratus. Lima tahun dulu harga terendahnya ialah AS$412.10 iaitu kenaikan sebanyak 152.8 peratus.

Secara purata seseorang yang melabur jangka panjang mendapat pulangan purata dalam masa lima tahun sebanyak 30.5 peratus. Rasanya pelaburan di pasaran saham sendiri tidak boleh memperolehi keuntungan sebanyak itu.

Tidak ramai yang sedar akan pulangan yang lumayan daripada pelaburan emas. Cara yang baik untuk melabur emas ialah dengan membeli syiling emas atau emas keping selain barang kemas.

Untuk makluman, suatu auns bersamaan dengan 31.10 gram. Bagaimana pun harga jualan emas di institusi kewangan berbeza-beza kerana harga emas bukannya sesuatu yang terkawal.

Banyak kos perkhidmatan seperti insurans diambil kira oleh institusi-institusi ini. Syiling dan emas keping ini boleh diperolehi di bank-bank seperti Maybank dan OUB.

Ada juga yang menggunakan buku pas seperti Public Bank tetapi pelanggan tidak menyimpan dan melihat emas sebenarnya hanya jumlah dan harga semasa pembelian dimasukkan ke dalam buku pas.

Kini ada pembelian dan penjualan boleh juga dilakukan dengan Koperasi Etika Emas yang mempunyai cawangan di seluruh negara.

Kenaikan harga emas tertakluk lazimnya atas tiga faktor utama. Pertama penyusutan nilai dolar Amerika. Apabila nilai dolar Amerika susut harga emas akan naik, apabila dolar Amerika stabil harga emas akan susut.

Emas bertindak sebagai pelindung nilai menentang dolar Amerika. Pada masa ini dolar Amerika lemah dan menunjukkan tanda-tanda akan menjadi lebih lemah.

Ada juga ura-ura negara Asia Barat dan China akan menggunakan mata wang lain selain dolar Amerika disebabkan kelemahan dolar Amerika ini. Walaupun peralihan kepada mata wang selain dolar Amerika (euro misalnya atau mata wang bentuk baru) bukan sesuatu yang boleh berlaku dengan segera, berita itu telah cukup untuk melonjakkan harga emas dunia.

Faktor kedua ialah harga emas akan naik selari dengan kadar inflasi. Apabila inflasi naik, harga emas akan naik selaras dengan inflasi.

Dalam keadaan negara-negara di dunia termasuk kuasa-kuasa ekonomi besar menyuntik pakej rangsangan ekonomi dengan besar seperti AS$787 bilion pakej rangsangan Amerika Syarikat kesannya ialah peningkatan inflasi.
Amerika hanya mengecap duitnya sesuka hati dan ini akan menyebabkan nilai duitnya akan turun.

Faktor ketiga ialah kenaikan harga petroleum akan menyebabkan harga emas naik selari dengan kenaikan kos penghasilan dan penghantaran barangan, jika harga petroleum jatuh. dijangka emas juga akan turun tetapi pada tahap minimum.

Terdapat beberapa cara untuk melabur dalam bentuk emas dan diterangkan secara lengkap di dalam www.gold.org/value. Orang ramai boleh melabur secara langsung dengan membeli emas bulion (jongkong), syiling emas, dinar emas, atau secara tidak langsung melalui gold futuresoptions, waran atau sijil pelaburan.
Salah satu cara paling popular dan cepat berkembang dalam sekuriti bursa di seluruh dunia yang dikenali dengan nama Gold ETF (Exchange Traded Fund).

Antara bursa saham dunia yang menawarkan Gold ETF ialah di Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Hong Kong, Jepun, Mexico, Afrika Selatan, Switzerland, Singapura, Turki dan United Kingdom. ETF ini dalam bentuk sekuriti dan disokong 100 peratus oleh emas secara fizikal.

Pelaburan secara ini berkembang dengan pesat sehingga 38 peratus daripada pelaburan yang dikenal pasti terdiri daripada sekuriti bentuk ini. Di sini belum ada lagi Gold Emas ini diperdagangkan di bursa kita.

Melihat pergolakan yang berlaku sekarang terutama sekali tergugatnya kedudukan Dolar Amerika ekoran krisis ekonomi yang berpunca di Amerika, daripada mereka dan merebak ke seluruh dunia. Orang ramai sudah tentu mencari sesuatu bentuk pelaburan yang lebih selamat daripada pergolakan harga.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Kredit : Utusan Malaysia, 10 Oktober 2009

Comments

Popular posts from this blog

Peta minda perlu ditanam kepada pelajar

PELBAGAI perkara timbul ekoran daripada krisis ekonomi global yang bermula di Amerika Syarikat.   Terkini   sebuah rencana di dalam Wall Street Journal menyatakan kebergantungan masyarakat sekuriti dan perniagaan kepada golongan yang berkelayakan sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) telah menyumbang kepada krisis yang terbesar dalam sejarah. Rencana tersebut membangkitkan beberapa kelemahan bagi mereka yang berkelayakan MBA. Pertama mereka terlatih kebanyakannya menyelesaikan masalah jangka pendek, mereka hanya mengutamakan nombor dan keuntungan, mementingkan keuntungan dan pulangan kepada pemegang saham. Orientasi mereka menjurus banyak ke arah satu aliran sahaja dan tidak berkeupayaan untuk menyelesaikan masalah secara jangka panjang, tidak berkeupayaan untuk mewujudkan suatu pelantar komunikasi dengan pelbagai golongan masyarakat. Di Harvard Business School, salah sebuah universiti yang dulunya terkenal dengan program MBA kini dikritik kerana ketidakmampuan lulusan MB...

Sebelum kutuk, fahami cadangan hidupkan semula BSB

SAYA telah dikutuk kerana mencadangkan dihidupkan semula Bursa Saham Bumiputera (BSB). Ramai kalangan yang memberikan pandangan tentang cadangan tersebut termasuk orang kita sendiri yang mengatakan cadangan itu membuang masa dan tidak berguna. Sememangnya apa jua cadangan berkaitan dengan kebaikan untuk golongan Bumiputera semuanya tak baik dan membuang masa. Mereka yang memberikan pandangan (akhbar The Star kelmarin) tidak tahu butir-butir tentang cadangan tersebut. Ada yang mengatakan kalau dulu sudah gagal mengapa sekarang akan berjaya. Mereka tidak tahu kegagalan dulu disebabkan tidak ada suatu sistem – baik sistem dagangan, hantaran atau penjelasan bayaran. Tunggang langgang. Mereka yang hendak beli dan jual saham kena tunggu berbulan-bulan untuk mencari pembeli atau penjual. Sebenarnya kalau ada sistem pasaran, saham itu boleh berjaya. Kerajaan sendiri telah memberikan peruntukan dalam Akta Perindustrian Sekuriti 1968 yang memberikan pengecualian kepada pengawalseliaan pasa...

Antara tersurat dan tersirat FIC

Saranan Salleh PENGUMUMAN Selasa 30 Jun lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang tidak perlu lagi syarikat yang ingin disenaraikan memperuntukkan 30 peratus sahamnya kepada Bumiputera menunjukkan ketidakberkesanan sesuatu peraturan. Sejak 1970 Jawatankuasa Pelaburan Asing diberi tanggungjawab untuk memastikan hak milik Bumiputera dalam ekuiti syarikat. Malangnya selepas 39 tahun hanya 19.4 peratus sahaja daripada sasaran 30 peratus yang tercapai. Walaupun ini suatu kejayaan jika dibandingkan dengan 2 peratus hak milik Bumiputera dalam tahun 1970, banyak kelemahan terdapat dalam pelaksanaan pencapaian dasar tersebut. Kelemahan-kelemahan seperti saham diperolehi oleh golongan tertentu sahaja yang tanpa modal sendiri meminjam daripada bank dan menjual di hari penyenaraian saham syarikat. Dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an sememangnya pasaran saham yang rancak memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka yang beruntung mendapat peruntukkan saham. Lazimnya...