KENAPA negara kita memerlukan Model Ekonomi Baru (MEB)? Kita sudah ditinggalkan oleh jiran-jiran kita. Pelaburan asing walaupun ada datang tetapi sudah berkurangan. Syarikat swasta kita sendiri tidak melabur dalam negara sendiri. Mereka pergi ke tempat lain untuk mencari keuntungan. Kita terlekat dengan pendapatan pertengahan. Negara-negara yang satu masa dulu sama taraf pendapatan dengan kita seperti Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Singapura kini telah jauh meninggalkan kita. Pendapatan perkapita kita hanya setakat AS$7,000 (RM23,100) sedangkan negara yang sama taraf dengan kita satu masa dulu sudah meningkat dua hingga lima kali ganda daripada perkapita kita. Kenapa pelaburan asing berkurangan? Syarikat asing memberikan pelbagai sebab mengapa mereka tidak lagi datang ke sini. Pertama, industri kita masih lagi bertumpukan industri bergaji rendah dan teknologi rendah yang kurang nilai tambahnya dalam produk keluaran. Kedua, bagi industri berteknologi tinggi, kita tidak memilik...