Skip to main content

Perlunya didikan agama diberi keutamaan


KADANG-KADANG kita terfikir, adakah kita memberikan masa yang setimpal kepada pengajian agama jika dibandingkan dengan masa yang kita berikan kepada pelajaran biasa.

Misalnya enam tahun untuk sekolah rendah, ditambah dengan lima tahun sekolah menengah, dicampur dengan dua tahun tingkatan enam dan tiga atau empat tahun untuk ijazah sarjana muda, dua tahun untuk sarjana dan mungkin empat tahun untuk ijazah kedoktoran. Antara 21 hingga 23 tahun tempoh masa dikhaskan untuk sekolah dan universiti.
Sedikit sangat terdapat dalam 21 tahun itu dimasukkan pengajian agama kecuali kalau seseorang itu mencari sendiri guru yang boleh membimbing sehingga betul-betul memahami apa yang diperlukan untuk menjadi seorang insan yang beriman.

Masalahnya bermula dengan ibu bapa yang mungkin tidak mengambil berat tentang perlunya anak-anak mendapat pengajian agama yang lengkap bukan setakat pandai membaca al-Quran sahaja.

Kalau ada pun kelas sebelah petang untuk sekolah agama selalunya hanyalah setakat sekolah rendah sahaja.

Daripada keadaan dan suasana yang tidak memberikan keutamaan kepada pengajian agama yang betul inilah timbul bermacam-macam fahaman dan muncul pelbagai jenis orang seperti Ayah Pin dan Rasul Melayu yang mempunyai pengikut tapi baru-baru ini ditangkap pihak berkuasa.

Mereka yang menjadi pengikut ini bukannya terdiri orang tidak berpelajaran tetapi mereka yang mempunyai ijazah dan sarjana. Misalnya sebelumnya al-Arqam diharamkan, ramai pengikutnya yang terdiri daripada golongan terpelajar yang sudah terpengaruh dengan pelbagai tuntutan ketuanya termasuk dikatakan dilantik oleh Nabi Muhammad.

Pernah juga terdengar penceramah daripada luar negara yang berceramah hanya untuk golongan ahli-ahli korporat dan mereka memberikan sumbangan berjuta ringgit kepada penceramah yang kononnya begitu mendalam ilmu agamanya.
Mudahnya orang kita terpengaruh disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan tentang agama. Kebanyakannya asas keagamaan mereka begitu lemah dan mudah terpengaruh dengan kumpulan yang mampu mempengaruhi dengan ilmu songsang. Mereka yang menjadi pengikut ini tidak mempunyai ilmu untuk menangkis fahaman yang tidak betul.
Ekoran daripada sikap "tidak takut Tuhan" inilah berlaku macam-macam penyelewengan, penipuan, jenayah dan seribu satu macam kesongsangan tabiat yang dilakukan oleh orang yang berpelajaran tinggi. Ada juga yang mengaji tidak tamat, tetapi dengan sedikit ilmu menggunakannya untuk tujuan yang menyimpang.

Hari ini kita terbaca tentang "siang hari pakai tudung, malam jadi kupu-kupu malam" di kalangan pelajar kita yang tidak malu lagi menggadai tubuh mereka. Begitu juga kelab-kelab gay dan lesbian.

Kesemua ini adalah ketidakmampuan mereka untuk menangkis pengaruh Barat yang mereka baca dan saksikan melalui televisyen, internet, majalah dan surat khabar.

Desakan kehidupan juga menyebabkan ibu bapa tiada masa untuk mendidik anak-anak dalam bidang agama kerana kedua-duanya terpaksa bekerja untuk menampung keperluan kehidupan.

Ramai anak-anak yang ditinggalkan di rumah jagaan kanak-kanak atau dijaga oleh pembantu rumah yang kebanyakannya orang asing seperti rakyat Indonesia dan Filipina. Jarang sekali bagi mereka yang sedar perlunya ilmu agama membawa guru ke rumah atau menyuruh anak-anak mereka mengikuti kelas-kelas agama.

Di sinilah jabatan-jabatan agama sama ada berbentuk kerajaan atau badan-badan bebas yang disahkan untuk mengambil tindakan daripada peringkat kampung, daerah, bandar dan negeri bagi memastikan pengajian agama ini diberikan suatu keutamaan sama seperti yang diberikan kepada perkara-perkara berkaitan ekonomi dan politik.
Tidak kurang juga masa yang terluang bagi ibu bapa ditumpukan kepada politik, baik di peringkat cawangan, bahagian. Kalau peringkat negeri, maka lagi kuranglah masa untuk anak-anak.

Ini juga boleh menimbulkan macam-macam perkara yang kurang sihat seperti rebutan kedudukan, jawatan, dengki mendengki walaupun mempunyai pelajaran tinggi. Ini dapat kita saksikan sedang berlaku hari ini.

Kalaulah ilmu agama yang betul dapat diberikan secara percuma dalam pelbagai bidang dan peringkat, misalnya yang ingin tahu pasal belajar perkara yang asas, yang ingin mendalam misalnya dalam bidang tasawuf boleh mengikuti bidangnya.

Kita sedia maklum memang ada ceramah agama lepas-lepas sembahyang di masjid-masjid tetapi ini tidak mencukupi kerana kadang-kadang mereka yang betul-betul berminat mencari guru boleh tersalah pilih.
Kita perlu ingat bahawa ilmu yang pertama dituntut untuk kita pelajari ialah ilmu mengenal diri sebelum kita mengenali Allah.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Comments

Popular posts from this blog

Bajet 2010 faedahnya menyeluruh

Saranan Salleh BAJET 2010 sudah dibentangkan. Seperti biasa bukan semua orang puas hati. Sudah tiada apa hendak dibangkang, bayaran RM50 untuk kad kredit pun jadi hal. Kalau kita lihat gaya bank mempromosikan kad kredit mereka, sampai buka gerai di pusat-pusat membeli-belah di merata tempat dan di stesen minyak. Ertinya begitu agresif menyuruh rakyat negara ini hidup dengan kredit. Maka ramailah yang berhutang sehingga tak terbayar dan ramai jugalah yang menyumbang kepada institusi kad kredit ini dengan kadar faedah lebih kurang 18 peratus setahun. Kehidupan gaya kredit inilah yang membuatkan Amerika Syarikat mengalami krisis ekonomi yang teruk mulai 2008 dahulu. Amalan berhutang ini lebih banyak buruknya daripada baik kecuali dalam keadaan kecemasan atau terdesak misalnya hospital tidak mahu merawat kes kecemasan waris kita kalau tidak dibayarkan cengkeram. Maklumlah sekarang ini kalau hendakkan rawatan di hospital swasta dalam kes kecemasan sekalipun kena bayar cengkeram dulu. M...

Antara tersurat dan tersirat FIC

Saranan Salleh PENGUMUMAN Selasa 30 Jun lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang tidak perlu lagi syarikat yang ingin disenaraikan memperuntukkan 30 peratus sahamnya kepada Bumiputera menunjukkan ketidakberkesanan sesuatu peraturan. Sejak 1970 Jawatankuasa Pelaburan Asing diberi tanggungjawab untuk memastikan hak milik Bumiputera dalam ekuiti syarikat. Malangnya selepas 39 tahun hanya 19.4 peratus sahaja daripada sasaran 30 peratus yang tercapai. Walaupun ini suatu kejayaan jika dibandingkan dengan 2 peratus hak milik Bumiputera dalam tahun 1970, banyak kelemahan terdapat dalam pelaksanaan pencapaian dasar tersebut. Kelemahan-kelemahan seperti saham diperolehi oleh golongan tertentu sahaja yang tanpa modal sendiri meminjam daripada bank dan menjual di hari penyenaraian saham syarikat. Dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an sememangnya pasaran saham yang rancak memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka yang beruntung mendapat peruntukkan saham. Lazimnya...

Ke arah Bursa Malaysia yang lebih digemari

Saranan Salleh   BARU-BARU ini Bursa Malaysia menjadi tumpuan dalam perbahasan di Parlimen. Ada ahli Parlimen yang ingin tahu tentang prestasi bursa kita secara umum. Merujuk perangkaan oleh Persekutuan Bursa Dunia (World Federation of Exchanges) berkenaan jumlah nilai dagangan bursa kita setakat akhir Oktober 2009 ialah AS$72.25 bilion. Penurunan sebanyak 34.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Jika dilihat jiran-jiran kita seperti Indonesia, nilai dagangannya ialah AS$81.57 bilion. Kejatuhan sebanyak 25.5 peratus berbanding 2008. Singapura mencatat nilai dagangan tertinggi dalam ASEAN iaitu sebanyak AS$208.9 bilion, penurunan sebanyak 16.6 peratus berbanding 2008, Thailand yang dipenuhi dengan satu demi satu tunjuk perasaan, mencatat nilai lebih tinggi daripada kita iaitu AS$106.31 bilion, jatuh hanya sebanyak 3.2 peratus berbanding 2008. Sementara Filipina pula menunjukkan kenaikan sebanyak 4 peratus kepada AS$16,455. Di rantau ASEAN bursa kitalah yang menunjuk...