Skip to main content

Satu kes yang wajar diberikan renungan



SARANAN SALLEH
INI adalah kisah benar. Seorang peniaga warung yang telah berniaga nasi ayam dan nasi campur selama 12 tahun di atas tanah milik seorang pesara di sebuah kawasan dalam Kuala Lumpur.

Apabila Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir atau Stormwater Management and Road Tunnel (SMART) hendak dibina, perniagaan dia terpaksa ditutup untuk membuka jalan bagi pembinaan terowong tersebut.

Pada masa itu dia dapat tahu bahawa tanah yang disewanya sebanyak RM1,200 sebulan selama 12 tahun sebenarnya tanah kerajaan. Oleh itu apabila ditutup warung peniaga tersebut, jabatan yang berkenaan, Jabatan Saliran sepatutnya memberikan pampasan ke atas penutupan perniagaan tersebut.

Dengan penutupan tersebut maka bermulalah masalah peniaga tersebut. Dia telah dirujuk kepada Pejabat Tanah Wilayah yang berjanji akan memberitahu Jabatan Saliran tentang pampasan yang patut diberikan.

Kemudian dia telah berhubung dengan Jabatan Saliran dan juga bertemu dengan pegawai jabatan tersebut yang telah memberitahu beliau bahawa kesnya terpaksa dirujuk kepada Unit Perancang Ekonomi.

Begitulah seterusnya sehingga hampir dua tahun berlegar-legar antara satu jabatan dengan satu jabatan lain sehingga pernah hadir di suatu mesyuarat yang mendengar tuntutan beliau serta tuntutan tuan tanah yang sebahagian tanahnya ialah milik kerajaan.

Sampai hari ini peniaga ini belum dapat bayaran pampasannya. Nasib baiklah dia mendapat tempat berniaga di medan selera yang berdekatan. Walaupun tempat itu tidak sebaik warung yang ditutup dahulu, untuk terus hidup dia terpaksalah menjalankan perniagaannya di sana.

Inilah masalah masyarakat peniaga kecil yang dipermainkan oleh pihak berkuasa hanya untuk menuntut hak mereka.

Pada pegawai-pegawai yang berkenaan, mereka tidak simpati dengan masalah peniaga tersebut kecuali simpati melalui kata-kata manis sahaja. Bagi seseorang yang tidak mempunyai hubungan dengan sesiapa untuk membantu masalah mereka, mereka akan dilupakan begitu sahaja.

Saya ingin bertanya di manakah letaknya manifestasi kenyataan "Rakyat Didahulukan" oleh penjawat-penjawat awam yang berkenaan dalam slogan 1Malaysia yang menjadi tumpuan sekarang. Dalam kes begini memang rakyat tidak didahulukan.

Saya bersyukur kerana ada juga pihak-pihak yang nampak kebaikan daripada cadangan saya menghidupkan semula Bursa Saham Bumiputera tempoh hari.

Di antara pihak yang saya rasa dapat melihat faedah cadangan tersebut ialah mereka di Astro Awani yang telah menghubungi saya tiga kali untuk tiga rancangan terbitan mereka yang berlainan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Malahan pada suatu program, saya telah bersama seorang pengamal industri sekuriti yang merasakan tidak perlu diwujudkan lagi bursa tersebut kerana di Bursa Malaysia sudah ada bahagian ACE yang dulunya dikenali dengan nama MESDAQ.

Saya telah menerangkan bahawa walaupun ACE ada di Bursa Malaysia, sehingga hari ini tidak ada satu pun syarikat Bumiputera yang tersenarai di bahagian tersebut walaupun syarat penyenaraian di bahagian berlainan daripada pasaran utama Bursa Malaysia.

Seperkara lagi, kalau kita perhatikan syarikat-syarikat di bahagian ACE ini, boleh dikatakan kesemuanya berkaitan dengan teknologi maklumat atau IT.

Daripada segi kecairan yang dipersoalkan oleh sesetengah pihak, jawapan saya ialah kita akan meneroka seluruh dunia melalui Internet kerana cadangan Bursa Saham Bumiputera ini perlu bergerak melalui Internet untuk mengambil kesempatan jumlah pelanggan yang besar.

Walaupun kita sasarkan peratusan bawah daripada setengah peratus daripada jumlah keseluruhan pelanggan, ia sudah lebih daripada mencukupi.

Dan seperti yang saya terangkan dengan adanya syarikat Bumiputera ini, dengan sendirinya kita menawarkan syarikat yang diluluskan oleh syariah. Ini memberikan kemungkinan cerah pelabur dari Asia Barat mungkin berminat dengan syarikat yang berpotensi dan berprestasi baik selain rakyat Malaysia di seluruh dunia.

Ertinya dari segi kecairan, kita tidak terhad kepada pelabur negara kita atau Bumiputera sahaja.

Peranan pendidikan tentang selok-belok pasaran saham penting bagi usahawan untuk memahami. Bursa ini akan memberikan keutamaan kepada pendidikan bukan sahaja kepada usahawan malahan kepada pelabur sekali.

Dato' Salleh Majid ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Kredit : Utusan Malaysia,17 April 2010

Comments

Popular posts from this blog

Bursa saham dulu dan sekarang

  DALAM keadaan pasaran saham tidak menentu ekoran daripada krisis ekonomi global, saya terkenang kisah semasa bersama Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) dari 1984 sehingga 2003. Memang banyak pengalaman pahit, manis dan maung yang saya lalui. Saya berpeluang berkhidmat di bawah tiga pengerusi dalam jangka 19 tahun itu. Bermacam-macam kerenah mereka ini yang dapat saya perhatikan. Yang suka datang lambat bila mesyuarat, yang suka susun semula organisasi berkali-kali dan yang cekap buat kerja dalam semua bidang. Cekap dan pantas betul. Saya masih teringat pada awal perkhidmatan saya, semuanya berjalan secara manual. Dalam ruangan bilik seluas 2,500 kaki persegi pada tahun 1984 itu, berlari-larilah 50 orang kerani bilik dagangan mengambil pesanan dari syarikat broker. Mereka menggunakan signal tangan untuk menawar dan membeli saham yang kesemuanya tercatat atas papan hitam. Di atas lantai bilik tersebut penuh dengan wayar telefon bertali terus kepada kerani syarikat b

Gelandangan

Gelandangan dan pengemis itu berbeza.

Tambang naik, kualiti pula bagaimana?

AKHIRNYA syarikat pengangkutan mendapat kenaikan tambang seperti yang dinantinantikan. Difahamkan kali terakhir mereka menerima kenaikan ini ialah pada 2005. Memang patut pun diberikan kenaikan kali ini. Orang ramai kini kena tanggung kenaikan lagi. Semuanya naik. Barang makanan naik, kos sara hidup pula sudah lama naik. Sejak minyak melambung sampai AS$140 setong Julai tahun lalu. Kini minyak sudah turun sehingga AS$61 setong tetapi harga barang tidak juga turunturun. Gaji tidak boleh naik sebab ekonomi negara masih lagi meleset. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyatakan, eksport negara akan jatuh lebih 21.8 peratus untuk tahun ini dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga akan jatuh lebih tinggi daripada ramalan awal negatif 2.2 peratus kepada negatif 4.2 peratus. Tahun depan jatuh lagi kepada negatif 3.8 peratus. Rakyat biasa mungkin tidak faham, naik atau turun KDNK. Mungkin ramai yang tidak ambil pusing. Yang rakyat biasa faham ialah tambang bas dan teksi