Skip to main content

Kaji semula kebergantungan kepada eksport

SALAH satu perkara menarik yang muncul dalam Perbincangan Meja Bulat di ISIS Isnin 16 Mac 2009 lalu ialah perlunya penerangan yang jelas disampaikan kepada masyarakat tentang Pakej Rangsangan Kedua yang bernilai RM60 bilion.

Majlis mengakui bahawa kemungkinan salah pengertian tentang jumlah RM60 bilion bukannya RM60 bilion tunai tetapi wang tunai hanya RM15 bilion terbahagi kepada dua tahun - RM10 bilion untuk tahun ini dan RM5 bilion untuk tahun 2010.

Ramai yang melahirkan rasa bimbang apa jua yang disalurkan melalui bank akan berdepan dengan masalah untuk mendapatkannya, seperti Dana Jaminan Modal Kerja yang bernilai RM29 bilion.

Gambaran daripada Datuk Wong Siew Hai daripada Malaysian American Electronics begitu muram sekali. Katanya belum ada tanda-tanda ekonomi Amerika Syarikat, pembeli peralatan elektronik terbesar daripada Malaysia, pulih dalam masa terdekat ini.

Dalam perbincangan yang berlangsung, pelbagai perkara dibangkitkan para peserta. Antaranya banyak projek yang telah dianugerahkan di bawah RMK9 tidak dilaksanakan. Kenapa ini berlaku?

Adakah mereka yang diberikan projek tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan projek? Majlis tidak memberi jawapan kerana tidak ada wakil daripada badan atau kementerian.

Perkara ini menimbulkan kebimbangan pelaksanaan projek di bawah Pakej Rangsangan Kedua ini mengalami masalah yang sama.

Seorang peserta lain mencadangkan satu badan tindakan serupa dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negara semasa krisis kewangan 1997/1998 dulu dibentuk.

Langkah tersebut dilihat begitu berkesan mengatasi krisis kewangan pada masa itu. Jika diterima hakikat bahawa krisis ekonomi hari ini lebih teruk daripada pada krisis 1997/1998, maka suatu badan yang lebih penting daripada yang lalu perlu diwujudkan.

Ini bermakna penyertaan dalam Majlis tersebut wajar mengandungi pelbagai golongan lapisan masyarakat. Kita meletakkan harapan kepada Jawatankuasa Petugas yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan.

Ada juga suara yang menyarankan melihat penggunaan tenaga di negara kita yang pada masa ini tidak optimum. Jika dibandingkan dengan penggunaan tenaga di Jepun, kadar kita adalah lima kali lebih daripada negara itu.

Pada masa ini difahamkan kita tidak lagi berdikari dengan penghasilan tenaga kita kerana 30 peratus daripada kos kita melibatkan kos batu arang. Soalnya selama hari ini kenapa kita tidak melakukan penyelidikan tentang tenaga alternatif.

Kita tahu bahawa keperluan tenaga kita akan meningkat dari tahun ke setahun bukan menurun dan bahan penghasilan kita tentu sekali akan menjadi faktor utama kos kita. Negara kita kaya dengan kuasa matahari dan angin dan wajar diterokai untuk digembleng sebagai tenaga alternatif.

Sebenarnya krisis ekonomi ini memberitahu kita yang kebergantungan kepada eksport suatu kelemahan. Inilah masanya untuk kita mengkaji semula struktur ekonomi kita.

Kalau dari getah dan bijih timah kita berpindah kepada kelapa sawit dan minyak dan memberi tumpuan kepada sektor pengilangan jelas bahawa kos buruh yang rendah menjadi faktor penarik pelabur asing.

Apabila ada negara lain seperti China dan Vietnam yang menawarkan upah buruh yang lebih rendah, kita patut berpindah daripada industri berteraskan buruh kepada berteraskan modal. Kini kita patut berpindah kepada industri berteraskan pengetahuan atau k-ekonomi.

Malangnya persediaan transformasi itu tidak berlaku seperti sepatutnya terutama sekali dalam bidang pendidikan. Bagaimana transformasi akan berlaku apabila tenaga pengajar tidak terlatih untuk k-ekonomi.

Begitu juga mereka dalam sektor awam dan sektor swasta. Di Koridor Raya Multimedia tidak semua daripada tujuh tunggak utama dilaksanakan. Ada baiknya dibawa saja pusat kewangan luar pesisir Labuan ke sana dalam bentuk bonded warehouse sama seperti kawasan bebas cukai.

Saya bersetuju dengan cadangan Datuk Seri Nazir Razak yang kita patut mempelawa pakar-pakar dari luar negara yang boleh membantu kita dalam transformasi itu.

Kita tidak ada pilihan selain mengurangkan penggantungan kepada eksport dan pada masa yang sama mengurangkan juga import atas barang-barang tertentu seperti makanan yang bernilai dalam RM11 bilion setahun.

Banyak disebut-sebut tumpuan wajar diberikan kepada sektor perkhidmatan kerana potensi besar dalam sektor tersebut. Insurans, pembrokeran, pelancongan, peruncitan, pemborongan, perisian penyelesaian, tempahan luar (outsourcing), perundingan dan lain-lain. Banyak lagi ruang dalam kewangan Islam selain perbankan termasuklah bursa saham Islam yang boleh diterokai.

Dato' Salleh Majid ialah Felo Utama Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia.Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Kredit : Utusan Malaysia Online, 21 Mac 2009

Comments

Popular posts from this blog

Bursa saham dulu dan sekarang

  DALAM keadaan pasaran saham tidak menentu ekoran daripada krisis ekonomi global, saya terkenang kisah semasa bersama Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) dari 1984 sehingga 2003. Memang banyak pengalaman pahit, manis dan maung yang saya lalui. Saya berpeluang berkhidmat di bawah tiga pengerusi dalam jangka 19 tahun itu. Bermacam-macam kerenah mereka ini yang dapat saya perhatikan. Yang suka datang lambat bila mesyuarat, yang suka susun semula organisasi berkali-kali dan yang cekap buat kerja dalam semua bidang. Cekap dan pantas betul. Saya masih teringat pada awal perkhidmatan saya, semuanya berjalan secara manual. Dalam ruangan bilik seluas 2,500 kaki persegi pada tahun 1984 itu, berlari-larilah 50 orang kerani bilik dagangan mengambil pesanan dari syarikat broker. Mereka menggunakan signal tangan untuk menawar dan membeli saham yang kesemuanya tercatat atas papan hitam. Di atas lantai bilik tersebut penuh dengan wayar telefon bertali terus kepada kerani syarikat b

Gelandangan

Gelandangan dan pengemis itu berbeza.

Daya saing, gaji tinggi, inovatif dan kreatif

SAYA tertarik dengan hasrat untuk meningkatkan tahap gaji pekerja kita kepada tahap yang lebih tinggi. Maknanya gaji pekerja kita lebih tinggi daripada sekarang. Ini sesuatu yag sudah lama patut dilakukan. Dulu, dalam tahun 1970-an, kedudukan dengan negara-negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura lebih kurang sama saja. Kini, selepas 30 tahun, kita sudah jauh ditinggalkan mereka. Gaji pekerja di negara-negara tersebut jauh lebih tinggi daripada kita. Di negara kita daripada 1991 sehingga 2003, dikatakan purata gaji naik hanya 1 peratus sedangkan negara-negara tersebut pada satu masa sama dengan kita naik 10 peratus. Kalau tengok Singapura, menteri mereka gaji paling lumayan. Perdana Menteri mereka gaji berpuluh ganda gaji Presiden Amerika Syarikat. Sebab apa? Sebab orang putih kata, "kita bagi kacang, kita dapat monyet." Yang naik berpuluh kali ganda di negara kita bukan gaji pekerja tapi harga rumah, harga hartanah naik gila-gila. Sebab apa? Bukan orang yang