Skip to main content

Model ekonomi baru dan agenda Melayu

TIDAK lama lagi Model Ekonomi Baru (MEB) akan diumumkan. Teka-teki tentang apakah kandungan model itu masih berterusan. Setakat ini, yang kita tahu hanya inovasi, kreativiti dan pendapatan tinggi. Itu saja. Lain daripada itu, agak sendirilah.

Pada Ahad lalu, satu perbincangan meja bulat tentang perkara tersebut anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) telah diadakan. Perkara utama yang dibincangkan, apakah MEB ini akan mengambil kira beberapa kelemahan di kalangan orang Melayu pada hari muka. Kelemahan dari segi pendapatan yang rendah, kelemahan dari segi jurang pendapatan antara kaum yang kian meluas, jurang antara Melayu bandar dan luar bandar yang luas dan pencapaian masyarakat perniagaan dan perdagangan Melayu setakat ini yang belum setakat mana dan penguasaan orang lain atas ekonomi negara kita.

Kelemahan-kelemahan itu tidak payah diulang berkali-kali kerana umum mengetahui penguasaan orang Melayu dalam ekonomi negara begitu rendah dalam semua bidang. Hakikatnya, semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dahulu perlu diteruskan. Banyak yang mengkritik mengatakan dasar itu bersifat diskriminasi kerana mengutamakan suatu kaum, sedangkan kaum bukan Melayu mendapat manfaat lebih daripada RM80 bilion.

Banyak negara lain di dunia mengamalkan dasar seperti DEB yang diamalkan oleh Malaysia. Misalnya, di India dinamakan dasar pertumbuhan dengan kesamarataan, di China - dasar pertumbuhan inklusif dan di Eropah - dasar pertumbuhan meluas. Malah Piagam Bangsa-bangsa Bersatu dan Bank Dunia bersetuju bahawa tindakan affirmative diperlukan dan penting demi kestabilan rakyat. Ketidaksamaan akan membawa kepada ketidakstabilan.

Pada masa ini, ada pihak mengatakan bahawa DEB telah menyebabkan pelabur asing tidak mahu melabur di negara kita, sedangkan hakikatnya pelabur asing tidak masuk sebanyak dahulu adalah kerana sudah banyak negara yang muncul menarik sama pelabur asing dan kita tidak bergerak ke arah industri berteknologi tinggi. Kita telah menjual negara kita berasaskan gaji yang rendah, sedangkan negara yang gaji buruh yang tinggi menerima pelabur asing dua kali ganda daripada kita. Pelabur asing tidak datang ke sini sebanyak dahulu kerana kita mempunyai tenaga kerja yang berkemahiran hanya sebanyak 25 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja.

Kemudian, tengoklah siswazah yang keluar dari institusi pengajian tinggi kita yang kebanyakannya tidak mahu diterima oleh sektor swasta kerana beberapa kelemahan seperti berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, pengetahuan am, keyakinan diri dan kelemahan memilih bidang yang tidak secucuk dengan keperluan industri.

Jadi, walaupun kita bercakap berdegah-degah tentang pentingnya modal insan, modal insan Melayu begitu lemah jika dibandingkan dengan bangsa lain. Kita lihat Universiti Tuanku Abdul Rahman dapat keistimewaan untuk pelajarnya yang boleh menggunakan hospital dan klinik-klinik kerajaan, sedangkan Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia terpaksa mengadakan kemudahan untuk pelajar perubatan mereka sendiri. UiTM yang baru menubuhkan fakulti perubatan juga terpaksa membangunkan kemudahan sendiri.

Saya kurang pasti apakah perbincangan tempoh hari yang dihadiri oleh berpuluh badan bukan kerajaan dan ahli akademik akan menzahirkan apa yang dihajatkan iaitu bantuan kepada masyarakat dan usahawan Melayu tidak akan dipinggirkan dalam MEB. Memandangkan pengumumannya akan dibuat pada akhir bulan ini, kita tertanya-tanya apakah input-input daripada perbincangan tersebut akan diambil kira oleh pihak-pihak bertanggungjawab. Salah seorang penceramah hari itu mengatakan kalau tindakan affirmative ini tidak diteruskan, maka orang Melayu akan jadi seperti Melayu di Singapura yang dipinggirkan. Di Pulau Pinang, sudah nampak tanda-tanda itu akan berlaku. Masih ada orang Melayu yang tidak sedar.

Pendirian yang telah dibuat pada hari meja bulat itu adalah NGO-NGO Melayu tidak boleh berdiam diri menelan apa jua yang diberi walaupun kepentingan Melayu diketepikan. Memang ada pihak-pihak menyarankan agar kerajaan tidak memberi bantuan lagi kepada orang Melayu, menyarankan biar yang besar berkuasa, berdayasaing dengan sikap brutal dan macam-macam lagi yang menunjukkan sifat picik dan jumud mereka.

Apa yang lebih menyedihkan adalah orang Melayu sendiri yang sudah hidup selesa turut sama menyarankan dihapuskan DEB atau sebarang dasar sedemikian. Tengkuk mereka sudah lepas, maka mereka tidak peduli tengkuk orang lain. Golongan itu juga berfikiran sempit mempunyai blindspot dalam pemandangan mereka. Mereka ini tidak sedar apa yang berlaku. Kalau pelaksanaan yang menjadi masalah, jangan keseluruhan dasar hendak dibuang. Kita tidak bakar kelambu kalau marahkan nyamuk.

Kita kena lihat kalau ada kebocoran dan ketirisan dalam pelaksanaan dahulu, di mana yang bocor dan di mana yang tiris. Kalau perlu semua yang terlibat kena pergi sekolah balik. Kalau ada yang didapati bersalah, patut dihukum, jangan dipindahkan saja ke lain jabatan. Lihat saja laporan Ketua Audit Negara penuh dengan kejanggalan. Berapa orang yang kita dengar kena ambil tindakan?

Justeru, penglibatan kerajaan diperlukan untuk memberikan keseimbangan.

Kredit : Utusan Malaysia, 13 Mac 2010

Comments

Popular posts from this blog

Bursa saham dulu dan sekarang

  DALAM keadaan pasaran saham tidak menentu ekoran daripada krisis ekonomi global, saya terkenang kisah semasa bersama Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) dari 1984 sehingga 2003. Memang banyak pengalaman pahit, manis dan maung yang saya lalui. Saya berpeluang berkhidmat di bawah tiga pengerusi dalam jangka 19 tahun itu. Bermacam-macam kerenah mereka ini yang dapat saya perhatikan. Yang suka datang lambat bila mesyuarat, yang suka susun semula organisasi berkali-kali dan yang cekap buat kerja dalam semua bidang. Cekap dan pantas betul. Saya masih teringat pada awal perkhidmatan saya, semuanya berjalan secara manual. Dalam ruangan bilik seluas 2,500 kaki persegi pada tahun 1984 itu, berlari-larilah 50 orang kerani bilik dagangan mengambil pesanan dari syarikat broker. Mereka menggunakan signal tangan untuk menawar dan membeli saham yang kesemuanya tercatat atas papan hitam. Di atas lantai bilik tersebut penuh dengan wayar telefon bertali terus kepada kerani syarikat b

Gelandangan

Gelandangan dan pengemis itu berbeza.

Daya saing, gaji tinggi, inovatif dan kreatif

SAYA tertarik dengan hasrat untuk meningkatkan tahap gaji pekerja kita kepada tahap yang lebih tinggi. Maknanya gaji pekerja kita lebih tinggi daripada sekarang. Ini sesuatu yag sudah lama patut dilakukan. Dulu, dalam tahun 1970-an, kedudukan dengan negara-negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura lebih kurang sama saja. Kini, selepas 30 tahun, kita sudah jauh ditinggalkan mereka. Gaji pekerja di negara-negara tersebut jauh lebih tinggi daripada kita. Di negara kita daripada 1991 sehingga 2003, dikatakan purata gaji naik hanya 1 peratus sedangkan negara-negara tersebut pada satu masa sama dengan kita naik 10 peratus. Kalau tengok Singapura, menteri mereka gaji paling lumayan. Perdana Menteri mereka gaji berpuluh ganda gaji Presiden Amerika Syarikat. Sebab apa? Sebab orang putih kata, "kita bagi kacang, kita dapat monyet." Yang naik berpuluh kali ganda di negara kita bukan gaji pekerja tapi harga rumah, harga hartanah naik gila-gila. Sebab apa? Bukan orang yang