Skip to main content

Iklan pengaruhi gaya hidup manusia

Iklan satu-satunya alat perniagaan yang memainkan peranan yang penting kepada pelbagai golongan orang. Stesen televisyen, radio, akhbar, majalah semuanya hidup atas iklan yang disumbang oleh peniaga.

Pada tahun 2009, nilai iklan untuk Malaysia berjumlah RM2.9 bilion, kurang hanya 1 peratus daripada tahun sebelumnya. Bayangkan dalam keadaan ekonomi merosot, peniaga masih lagi gah untuk beriklan.

Salah satu rancangan yang paling popular di televisyen ialah Liga Premier Inggeris. Begitu hebat pengaruh pasukan bola tersebut sehinggakan kita boleh melihat kumpulan penyokong kelab masing-masing di sini.

Untuk menaja pertandingan tersebut, Bank Barclays membayar 87 juta pound atau hampir RM480 juta untuk dua musim selaku penaja. Bayangkanlah nilai yang diletakkan kepada pertandingan tersebut.

Syarikat AIG yang hampir muflis di Amerika Syarikat masih sanggup menaja kelab Manchester United. Kenapa? Mereka tahu yang menonton rancangan tersebut terdiri daripada penonton seluruh dunia dan jumlahnya beratus juta pada sesuatu masa.

Jadi walaupun mereka terpaksa membayar satu jumlah yang besar, mereka tahu dari segi jangkauan kepada orang ramai, kosnya begitu rendah.

Hari ini kita melihat ramai golongan artis dan ahli sukan yang memperolehi berjuta ringgit setelah dilantik oleh pelbagai syarikat untuk mengiklankan barangan mereka. Misalnya Roger Federer, pemain tenis nombor satu dunia diambil oleh Rolex, Maria Sharapova mewakiliCanon dan Cristian Ronaldo, pemain bola sepak termahal di dunia untuk shampoo Clear dan berpuluh jenama lain.

Berpuluh artis Hollywood dan Bollywood juga diambil untuk mengiklan pelbagai jenis jenama.

Artis negara kita ramai yang sudah diterima untuk mengiklan barangan peniaga seperti Rosyam Nor, Erra Fazira, Fahrin Ahmad dan ramai lagi daripada barangan herba hingga produk syarikat menguruskan badan.

Mengapa syarikat penaja sanggup membayar berjuta ringgit kepada selebriti untuk mengiklan barangan mereka? Tentu mereka mempercayai yang ramai orang apabila melihat selebriti idola mereka sama ada ahli sukan atau artis Hollywood, mereka akan terpengaruh untuk menggunakan barangan yang idola mereka gunakan.

Kita tak tahulah orang macam mana yang boleh mudah terpengaruh tetapi hakikatnya tentulah ramai, kalau tidak tentulah syarikat besar-besar dan terkenal seperti Adidas tidak akan sanggup mengeluarkan belanja yang begitu besar.
Memang tidak disangkal dari segi ekonomi, iklan membantu perkembangan ekonomi kerana ia suatu perbelanjaan. Dan juga iklan bertujuan untuk memberikan kesedaran dan maklumat kepada masyarakat.

Malangnya keadaan kebergantungan kepada iklan ini ada juga buruknya. Program di radio dan televisyen akan terikat dengan kehendak pengiklan dan ada masa-masanya iklan yang kita saksikan, misalnya lebih banyak mengganggu daripada memberitahu sesuatu yang bermanfaat.

Kalau kita lihat iklan yang disasarkan kepada golongan muda, kita mungkin tidak tahu apa sudutnya selain ingin mengajak golongan remaja ini mengikut apa yang menjadi ikutan.

Pengiklan menganggap diri mereka mendapat suatu lesen besar untuk menyelam alam kreativiti sehinggakan kadang-kadang mereka lupa akan perkara-perkara seperti adab dan tatasusila.

Ada iklan mi segera misalnya yang menunjukkan seorang bapa yang mengangkat mangkuk makanannya sambil menghirup kuah mi segeranya. Sesuatu yang kita ajar anak-anak kita tidak melakukannya kerana nampak macam kurang sopan.

Ada juga pencuci mulut yang mendakwa boleh membunuh kuman yang menyebabkan mulut berbau busuk. Tuntutan ini sama juga seperti penjual satu jenis ubat gigi yang mengatakan kuman berkeliaran pada gigi pengguna tetapi tidak disahkan dakwaan mereka oleh sesuatu badan kesihatan.

Selain daripada itu kita juga perhatikan di akhbar dan majalah misalnya iklan yang bukan-bukan tuntutan mereka dan saya percaya ramai yang termakan dengan apa yang digendangkan oleh mereka ini.

Dari sudut peniaga atau pemasar, iklan dianggap selaku pencetus untuk melakukan sesuatu tindakan. Kata-kata ringkas yang jadi amalan pengiklan ialah 'Sedar, Minat, Ingin dan Tindakan' atau Awareness, Interest, Desire dan Action (AIDA). Bila sedar akan wujudnya sesuatu barang itu, barulah timbul minat, bila berminat barulah timbul keinginan dan keinginan membuatkan mengambil tindakan iaitu membeli atau menggunakan.

Dalam teori tabii pengguna, minda manusia dianggap seperti 'kotak hitam' yang tidak tahu apa di dalamnya. Apa yang dilakukan oleh pengiklan ialah memasukkan beberapa rangsangan ke dalam kotak hitam itu dalam bentuk iklan yang membuatkan pengguna rasa cantik, rasa megah, rasa seperti selebriti dan rasa penting.

Mesej yang disampaikan mempunyai sasaran segmen pasaran tertentu seperti remaja, orang dewasa, kanak-kanak dan sebagainya. Rangsangan yang dimasukkan ke dalam kotak hitam ini bertujuan untuk menggerakkan pengguna mengambil sesuatu tindakan.

Kadar yang dikenakan bergantung kepada media yang digunakan. Televisyen yang paling mahal dan kadar juga berbeza mengikut masa siaran dan kegemaran sesuatu rancangan. Disebabkan stesen televisyen misalnya terlalu bergantung kepada iklan, hinggakan iklan diberhentikan untuk menyiarkan berita atau rancangan. Itu sebabnya ada baik kita jangan banyak sangat menonton televisyen kerana satu kajian di Britain mengatakan sesiapa yang menonton televisyen lebih daripada empat jam sehari akan hidup pendek!

Dato' Salleh Majid ialah bekas Pengurus Besar Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Kredit : Utusan Malaysia, 23 Januari 2010

Comments

Popular posts from this blog

Bursa saham dulu dan sekarang

  DALAM keadaan pasaran saham tidak menentu ekoran daripada krisis ekonomi global, saya terkenang kisah semasa bersama Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) dari 1984 sehingga 2003. Memang banyak pengalaman pahit, manis dan maung yang saya lalui. Saya berpeluang berkhidmat di bawah tiga pengerusi dalam jangka 19 tahun itu. Bermacam-macam kerenah mereka ini yang dapat saya perhatikan. Yang suka datang lambat bila mesyuarat, yang suka susun semula organisasi berkali-kali dan yang cekap buat kerja dalam semua bidang. Cekap dan pantas betul. Saya masih teringat pada awal perkhidmatan saya, semuanya berjalan secara manual. Dalam ruangan bilik seluas 2,500 kaki persegi pada tahun 1984 itu, berlari-larilah 50 orang kerani bilik dagangan mengambil pesanan dari syarikat broker. Mereka menggunakan signal tangan untuk menawar dan membeli saham yang kesemuanya tercatat atas papan hitam. Di atas lantai bilik tersebut penuh dengan wayar telefon bertali terus kepada kerani syarikat b

Gelandangan

Gelandangan dan pengemis itu berbeza.

Daya saing, gaji tinggi, inovatif dan kreatif

SAYA tertarik dengan hasrat untuk meningkatkan tahap gaji pekerja kita kepada tahap yang lebih tinggi. Maknanya gaji pekerja kita lebih tinggi daripada sekarang. Ini sesuatu yag sudah lama patut dilakukan. Dulu, dalam tahun 1970-an, kedudukan dengan negara-negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Singapura lebih kurang sama saja. Kini, selepas 30 tahun, kita sudah jauh ditinggalkan mereka. Gaji pekerja di negara-negara tersebut jauh lebih tinggi daripada kita. Di negara kita daripada 1991 sehingga 2003, dikatakan purata gaji naik hanya 1 peratus sedangkan negara-negara tersebut pada satu masa sama dengan kita naik 10 peratus. Kalau tengok Singapura, menteri mereka gaji paling lumayan. Perdana Menteri mereka gaji berpuluh ganda gaji Presiden Amerika Syarikat. Sebab apa? Sebab orang putih kata, "kita bagi kacang, kita dapat monyet." Yang naik berpuluh kali ganda di negara kita bukan gaji pekerja tapi harga rumah, harga hartanah naik gila-gila. Sebab apa? Bukan orang yang